Sunday, 17 May 2015

PENGERTIAN DAN DEFINISI KARANGAN

    Karangan  adalah  pengungkapan gagasan atau idea dalam sebuah karya tulis untuk dipahami oleh pembaca. Karangan terdiri dari karangan fiksi dan karangan nonfiksi. Karangan fiksi adalah karangan yang dibuat dengan menggunakan sisi imajinatif dari pengarang. Contohnya adalah dongeng dan cerita pendek.  Sedangkan karangan nonfiksi adalah karangan yang dibuat berdasarkan suatu kejadian atau realita yang benar-benar terjadi. Karangan nonfiksi dibagi menjadi karangan ilmiah dan karangan informatif.
     Karangan ilmiah merupakan karangan yang dibuat berdasarkan hasil pengamatan atau penelitian. Cara penulisannya memiliki struktur dan aturan tersendiri yang dibuat dan ditaati oleh masyarakat ilmiah. Karangan ilmiah ini harus mengungkapkan fakta-fakta yang didapat dari penelitian tanpa menambah maupun mengurangi hasilnya. Biasanya karangan ilmiah mencantumkan kesimpulan agar pembaca dapat lebih mudah memahami isi karangan. Ciri-ciri karangan ilmiah adalah tidak persuasif, tidak argumentatif, objektif, sistematis, dan teratur. Hal ini menyebabkan karangan ilmiah tidak begitu menarik dan kemungkinan pembaca akan merasa bosan.
    Karangan informatif adalah karangan yang berisi tentang informasi atas suatu objek atau peristiwa untuk memperluas pengetahuan pembaca. Karangan informatif merupakan bagian dari karangan nonfiksi yang berarti karangan ini dibuat tanpa menggunakan imajinasi pengarang. Jadi tidak ada karangan yang dibuat-buat untuk menarik pembaca. Karangan informatif biasanya terdapat dalam berita-berita koran yang menghadirkan fakta dan realita yang nyata.

JENIS-JENIS KARANGAN

Jenis-Jenis Karangan Karangan Berformat:
  1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
  2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
  3. Karangan jenis Ucapan
  4. Karangan jenis Syarahan
  5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
  6. Karangan jenis Berita
  7. Karangan jenis Laporan
  8. Karangan jenis Perbahasan

Jenis-Jenis Karangan Tidak Berformat

  1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
  2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
  3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
  4. Karangan Jenis Perbincangan
  5. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
  6. Karangan Jenis Peribahasa

PANDUAN MENGARANG

PANDUAN MENGARANG / MENULIS

Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :

A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.


B. Isi

Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.


Panduan mencari isi-isi berdasarkan peta minda:
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar, ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan popular ialah:

  • Apa?
  • Siapa?
  • Bila?
  • Mengapa?
  • Di mana?
  • Bagaimana?

C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan.

Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

CARA-CARA MENGARANG

CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS


1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2

  • Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
  • Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
  • Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
  • Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan


Bagaimana hendak memahami kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada tajuk?



Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti contoh-contoh di bawah:

CONTOH 1:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan mengenainya.

CONTOH 2:
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen: Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza. Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.Tips: Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan

  • Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
  • Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
  • Susun isi mengikut urutan kepentingannya.
  • Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
  • Isi penting jangan diulang-ulang

c. Menulis karangan

  • Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.
  • Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya. Bahagian-bahagian karangan yang ideal:
  1. Perenggan Pendahuluan
  2. Perenggan isi pertama dengan contoh berkaitan isi pertama
  3. Perenggan isi kedua dengan contoh berkaitan isi kedua
  4. Perenggan isi ketiga dengan contoh berkaitan isi ketiga
  5. Perenggan isi keempat dengan contoh berkaitan isi keempat
  6. Perenggan Penutup
  • Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.

d. Menyemak karangan

  • Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
  • Baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.

e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan

  • 4 minit mencari isi
  • 24 minit menulis karangan
  • 2 minit menyemak semula karangan
  • Jumlah = 30 minit

Saturday, 16 May 2015

Contoh Karangan Surat Rasmi

Lin Cheng Heng,
No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.
_________________________________________________________________

Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur…… ……………………………………………………   6 JULAI 2008

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2.……………Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3.………….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.

4.………….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5.………….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

6.………….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.

7.………….Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Linchengheng

(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

Contoh Karangan Tidak Rasmi

Norhayati Sarman
Kampung Sawah
Sempadan,
Tanjung Karang,
45000 Selangor.

25 Otktober 20014

Sahabatku,

Ke hadapan sahabat yang selalu diingati,saudari Dayang Huriah Awang Hadi yang kini berada di brunei Darussalam semoga berada dalam keadaan sihat walafiat.Bagi diri saya di sini alhamdulillah sihat seperti biasa. 

   Terlebih Dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana kesudian saudari bercerita kepada saya tentang tempat-tempat yang menarik di Brunai Darusslam.Teringin sekali hati saya untuk mengunjungi negara saudari pada suatu hari nanti.Saya tidak keberatan untuk menceritakan keindahan di negeri saya pula.Dengan cerita saya ini,saya harap suatu hari nanti saudari akan terbang ke mari untuk mengunjungi Selangor Darul Ehsan.


   Untuk pengetahuan Saudari Dayang huriah,negeri saya,Selangor Darul Ehsan merupakan negeri yang paling maju di malaysia.Walaupun menjadi pusat tumpuan untuk perkembangan sektor perindustrian,negeri saya masih mengekalkan keindahan alam semulajadinya.Malahan banyak tempat di selangor yang menjadi tumpuan para pelancong asing.

Sahabatku yang diingati,

   Antara tempat menarik dan perlu dilawati di sini ialah di daerah saya sendiri iaitu di tanjung karang.Untuk pengetahuan saudari,Tanjung Karang merupakan 'periuk nasi' bagi negeri ini dan di sinilah terletaknya sawah-sawah padi yang begitu luas.Pemandangannya amat indah di kiri kanan jalan raya,terutama apabila menjelang musim menuai.Padi di sini di tuai lima kali dalam masa dua tahun.Walaupun kini semua kerja dilakukan dengan menggunakan jentera,namun sawah padi yang menguning menjadi begitu indah.

   Selain itu kebanyakan pelancong ke selangor sering mengujung Bukit melawati iaitu satu tempat bersejarah bukit ini adalah tempat orang Belanda berkubu sewaktu menguasai Selangor pada abad ke-17 dahulu.Sehingga kini masih ada kesan-kesan kubu seperti meriam dan menara kawalan.Di samping itu juga,dari bukit ini kita boleh menyaksikan pemandangan yang indah iaitu pertemuan antara Selat Melaka dengan muara sungai Selangor.

Dayang Huraiah sahabatku

   Berhampiran Bukit Melawati ini terletak Rimba Alam.Di sinilah tempat para pencinta alam semulajadi untuk melihat segala panorama hutan yang ditutupi segala tumbuh-tumbahan asli dan juga binantang-binantang liar serta burung-burung.Adalah dikenal pasti bahawa di rimba inilah burung-burung dari Jepun dan China singgah dalam Perjalanan ke selatan iaitu ke Australia.Terdapat tempat-tempat khas yang disediakan untuk para pelancong Menyaksikan burung-burung liar bermain dan bertelur Di samping itu,di tempat ini juga terdapat pelbagai jenis kera dan monyet daripada yang jinak sehinggalah yang liar.

Sahabatku,

    Kebanyakan orang beraggapan bahawa kalau seseorang itu ke selangor maka tidaklah sah lawatan mereka itu kalau tidak mengunjungi Taman Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam dan juga masjid negeri.Kedua-dua tempat ini merupakan pusat utama tarikan pelancong ke Selangor.Taman Bukit cahaya merupakan sebuah taman yang dibina untuk mengekalkan alam semula jadi yang menjadi tempat riadah para penghuni kota.Disebabkan Kedudukannya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur,tempat ini menjadi tumpuan apabila tiba hujung minggu.Pemandangan yang indah dan semulajadi didapati di sini.Para Pengunjung taman ini boleh membuat perkhemahan di sini dan saya pernah berbuat demikian bersama teman-teman sekelas.

   Dari Taman Bukit Cahaya ini kita boleh melihat menara masjid yang biru dan gagah.Itulah menara masjid Negeri Selangor yang dianggap masjid yang terbesar di Asia.Masjid yang berwarna biru ini begitu besar dan boleh memuatkan lebih 15 000 orang jemaah.Kebanyakan pelancong asing,termasuk yang bukan islam akan mengunjungi masjid ini apabila mereka datang ke Taman Bukit Cahaya.

Saudari Dayang Huriah yang dihormati,

   Nampaknya sudah agak panjang cerita saya ini walaupun sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang ada di Selangor ini.Nantilah Dalam Kesempatan yang lain saya akan bercerita tempat-tempat yang lain pula.Sebelum mengundur diri,saya meminta maaf seandainya terdapat kekasaran bahasa dalam surat ini.Semoga kita bersua kembali di lembaran yang lain.Sekian ,terima kasih.

                                                                                                                                  

Yang Ikhlas,

-------------------------

Contoh Karangan Ucapan

Tajuk: Anda merupakan seorang pegawai tinggi di Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkans semula perkembangan sektor pertanian di negara ini, anda telah diminta untuk memberikan ceramah kepada ahli sebuah persatuan belia yang kebanyakannya terdiri daripada siswazah menganggur. Tajuk ceramah anda adalah tentang usaha-usaha yang perlu dijalankan untuk memajukan lagi sektor pertanian di negara ini. Sediakan teks ceramah tersebut.

Karangan Lengkap
Saudara Pengerusi Majlis, Presiden Persatuan Belia Senayan, Ahli-ahli Jawatankuasa, dan hadirin sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan ahli-ahli persatuan kepada saya untuk memberikan ceramah berkaitan usaha yang perlu kita ambil untuk memajukan sektor pertanian di negara ini. Kita maklum bahawa pada masa ini kerajaan memang memberikan tumpuan yang lebih terhadap usaha untuk mengetengahkan imej kita sebagai sebuah negara pertanian yang maju dan dikenali di peringkat antarabangsa. Kalau sebelum ini kita giat berusaha dalam sektor industri dan meminggirkan sektor pertanian, maka kini keadaan berubah. Ini disebabkan kerajaan sendiri sedar bahawa kita mempunyai kelebihan dalam sektor ini dan sektor pertanian juga ada sumbangannya terhadap perkembangan ekonomi negara.
Saudara dan saudari sekalian,
Sektor pertanian amat erat kaitannya dengan bioteknologi kerana hasil kajian dan penyelidikan dalam bidang ini dapat membantu kita memajukan sektor pertanian. Sebagai contoh, teknologi pembiakbakaan membantu pakar bidang pertanian menemukan baka tanaman atau ternakan yang bermutu. Tanpa kajian dan penyelidikan dalam bidang ini, kita akan terikat kepada baka lama yang tidak lagi kompetitif dari segi hasil. Ternakan kacukan, seperti kacukan antara kambing tempatan dengan biri-biri dan kajian kesesuaian ternakan rusa dan burung unta contohnya membawa dimensi baharu kepada sektor pertanian di negara kita. Oleh itu, pengetahuan kita dalam bidang bioteknologi perlu ditingkatkan. Anda yang mempunyai kelulusan dalam bidang yang berkaitan sebenarnya dapat membantu.
Di negara kita, walaupun jentera telah digunakan dalam kerja-kerja pertanian, tetapi belum lagi meluas dan menyeluruh kerana sesetengah ladang, tenaga buruh masih banyak digunakan. Hal ini juga perlu diberikan perhatian. Untuk mengurangkan kos buruh dan memastikan pengusahaan ladang lebih ekonomik, penggunaan mesin amat penting. Mesin dapat mempercepat kerja disamping dapat menjamin pengekalan mutu. Mesin hendaklah digunakan pada semua peringkat pengusahaan, iaitu daripada peringkat pembajakan tanah sehinggalah kepada pemprosesan hasil. Masalah yang berpunca daripada kelemahan dan kecuaian manusia dapat dielakkan dengan penggunaan mesin dan dengan ini hasil daripada sektor pertanian kita akan bertambah baik.
Saudara dan saudari yang saya kasihi,
Sebagaimana yang kita ketahui, di negara ini masih banyak lagi kawasan tanah terbiar. Pada hemat saya, jika tanah ini terus dibiarkan, maka ini merupakan satu pembaziran. Oleh hal yang demikian, langkah drastik perlulah diambil agar kawasan tanah tersebut dapat memberikan manfaat. Hadirin yang masih belum mempunyai pekerjaan, jika berminat untuk mengusahakannya bolehlah menemui kami di Jabatan Pertanian agar kita dapat mengadakan perbincangan tentang cara menebus guna tanah tersebut. Kami yakin bahawa sebahagian besar daripada kawasan itu masih boleh digunakan untuk tanaman tertentu yang bersesuaian dengan keadaan tanah. Sesetengah kawasan tersebut juga sesuai untuk ternakan haiwan, seperti lembu dan kambing, di samping untuk ternakan ikan air tawar.
Satu lagi usaha yang tidak kurang pentingnya ialah meningkatkan lagi usaha memajukan kegiatan hiliran sektor pertanian. Yang saya maksudkan dengan kegiatan hiliran dalam konteks ini ialah usaha mengeluarkan produk akhir daripada sesuatu keluaran pertanian. Sebagai contoh, getah dapat menghasilkan pelbagai jenis produk yang mempunyai pasaran, bukan sahaj daripada susunya, malah daripada batang dan daunnya. Keluaran pertanian lain, seperti kelapa, nanas, koko, kekacang, dan lain-lain harus dikaji dan diselidiki agar hasil hiliran yang pelbagai dapat ditemukan. Jika hal ini dapat dilakukan, bererti kita bukan sahaja dapat menjual keluaran tersebut sebagai bahan mentah, tetapi juga sebagai hasil industri berasaskan pertanian.
Saudara dan saudari sekalian,
Dalam apa-apa juga perniagaan , aspek pemasaran merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Dalam hal ini, kita mestilah mencuba sedaya upaya untuk mempercekap pemasaran hasil-hasil pertanian bukan sahaja sebagai bahan mentah tetapi juga sebagai hasil industri. Pasaran yang lebih luas mestilah diterokai dan pasaran janganlah terhad kepada pasaran tempatan, tetapi harus meliputi pasaran antarabangsa. Kita harus mencontohi negara yang sedia maju dalam sektor pertanian, seperti Australia, New Zealand, dan China. Negara-negara tersebut telah menguasai pasaran dunia dalam produk pertanian tertentu, seperti susu dan buah-buahan awet kering. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hendaklah kita manfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini.
Saudara dan saudari,
Kalau selama ini kita memandang negatif terhadap sektor pertanian kerana hasilnya yang kurang lumayan dan kerja pengusahaannya yang lebih bersifat pekerjaan kolar biru, kini sikap tersebut mesti diubah. Kita mestilah yakin akan keupayaan sektor ini dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kemajuan sektor ini. Saya yakin, pihak swasta juga akan tampil ke hadapan untuk memberikan sokongan.
Sebagai akhir kata, saya berharap agar ceramah saya ini memberikan semangat kepada anda untuk menceburi bidang ini dan yakin bahawa usaha yang bersungguh-sungguh akan membuahkan kejayaan. Sekian, sekali lagi saya ucapkan terima kasih.

Contoh Karangan Syarahan

Anda  mengambil  bahagian dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan ialah “Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Berilmu Dan Berdisiplin.” Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.


                Langit biru, segara hitam ciptaan Tuhan. Sayangnya manusia sekarang, akal ada,
 akhlak hilang, sibuk mencari impian, lupa diri, lupa Tuhan. Akhirnya datang suatu 
cahaya 
dari kunang-kunang yang berterbangan.Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima 
kasih tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang 
tidak lari dari landasan waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan  saudari
 yang dihormati. Tampilnya saya selaku anak nusa mengepal segenggam harapan, 
menjunjung seribu impian menerusi sentuhan rasa topik  syarahan saya yang berbunyi, 
“Ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.”
 Sidang hadirin,
            Secara keseluruhannya, topik syarahan pada malam yang permai ini
 menyentuh tentang suatu usaha ataupun ikhtiar untuk mewujudkan golongan yang 
berpengetahuan tinggi dan seterusnya mempunyai sifat patuh kepada segala 
peraturan yang diberi. Pengertian ini dalam konteks syarahan pada malam ini 
merangkumi suatu aspek yang luas, meliputi kepandaian dan pengetahuan yang
 melibatkan 
keduniaan
 dan keakhiratan.
 Tuan-tuan dan puan-puan,
            Ilmu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan, memberi sinar paduan
 kepada manusia; disiplin pula diibaratkan umpama tabir hitam yang menampakkan
 seri kerlipan bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam. Ikatan mesra 
antara dua perkataan itu adalah bagaikan aur dengan tebing; tak mungkin berpisah
 kerana kedua-duanya saling  berperanan dalam memajukan manusia. Berkat ilmu 
dan disiplin, pembesar suara ini tercipta, Dewan Seri Cahaya ini indah 
bercahaya, penonton pula tersenyum ria semoga pertandingan syarahan pada
 malam ini dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya
 Hadirin dan hadirat,
            Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah 
 mewujudkan golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan
 dan mendedahkan kesan-kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul
 daripadanya. Sesungguhnya kesedaran           merupakan benih utama yang
 mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di kalangan    masyarakat, 
di mana kita harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam sanubari 
kita. Golongan pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. 
Setiap anak yang dilahirkan umpamatabula rasa  -  kosong tiada isi. Justeru, ibu
 bapalah selaku rabbi yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan 
anak-anak mereka. Pendidikan secara tidak     langsung yang diterima di rumah 
melalui pembentukan rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk 
satu asas ilmu dan disiplin di kalangan anak-anak yang  menjadi harapan mereka.
            Setelah generasi kecil ini menjadi dewasa dan mula mengenali alam
 persekolahan,institusi pendidikan akan meneruskan peranannya . Dalam usaha
 ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kebijaksanaannya telah 
melengkapkan KBSR dan KBSM, malah kini Sekolah Bestari sudah mula 
diperkenalkan di seluruh negara. Selain itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) 
yang merupakan nadi dalam merangka, menyusun, menyemak semula dan 
melaksanakan kurikulum,akan memperkenalkan kurikulum baharu. Pelan 
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 pula bercirikan futuristik dengan 
harapan melahirkan modal insan yang dapat bersaing dengan generasi luar negara. 
Hal ini penting berdasarkan cabaran yang akan dihadapi dalam era globalisasi.
            Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranannya. Selepas merdeka, 
didapati   bahawa sistem  penddikan negara hanya menekankan kecemerlangan
 dari segi ilmu sedangkan keunggulan disiplin dan amalan dianaktirikan. Apabila 
menyedari akan hakikat ini, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyatnya 
cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan berdisiplin dengan 
melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, 
Cintailah Bahasa Kita, dan  Dasar Pandang Ke Timur  yang meliputi etika kerja dan
 kawalan mutunya ternyata berupaya melahirkan masyarakat yang berilmu dan
 berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka dan menjalankan 
program-program pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan Muda, 
Wawasan 2020, Koridor Raya, dan   internet. Sesungguhnya usaha murni ini harus 
dipertingkatkan; janganlah dinanti-nanti, janganlah ditangguh-tangguh
 sehingga masyarakat kita kembali teraba-raba dalam 
kegelapan, kembali ketandusan moral dan pendirian sehingga rambut mereka 
terpacak, baju terangkat,  seluar terencat, wujud kumpulan “l”, “Hip-Hop” hingga 
mata naik terbeliak.
 Ya, tuan-tuan dan puan-puan,
            Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah 
masyarakatnya  termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang demikian, 
apakah yang harus kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran tetangga, 
menyedarkan saudara-mara dengan semangat cintakan negara agar kita dapat 
melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Seterusnya dapat mewujudkan
 rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin  - bagaimana cintanya Dewi Sita kepada 
Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.
            Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan 
dakyah-dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik 
dan suasana kritikal ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat dan 
meredeka. Demikianlah sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya peranan
 dan peraturan dalam mewujudakan manusia yang  berpengetahuan dan berdisiplin.
 Sidang hadirin,
            Setelah mengetahui peripentingnya peranan dan peraturan ini, marilah 
bersama-sama mengkaji apakah kesan-kesan yang diperlihatkan hasil daripada 
perancangan ini. Ilmu dan disiplin tidak mudah terpisah dalam perkembangan 
politk tanahair. Berkat kecekapan dan kepandaian pemimpin kita dengan sifat Besih, 
Cekap, dan Amanah yang ditunjukkan, YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun 
Razak dengan Barisan Nasionalnya telah membentuk suatu pakatan yang utuh, 
dengan benteng yang kukuh bersama-sama MCA dan MIC
Pembentukan ini akhirnya membawa kepada penyatuan rakyat yang menjurus kepada 
kemajuan negara.
            Keutuhan ilmu dan disiplin dalam kalangan perwira merupakan tonggak kekuatan
  pertahanan negara. Berbekalkan ilmu pertahanan di dada, diperteguhkan lagi dengan 
disiplin yang sedia ada, diperkuatkan lagi dengan tiupan semangat Kanang Anak 
Langkau “Agi Hidup Agi Ngelaban” dapat menjinakkan seteru-seteru negara. 
Bayangkanlah sidang hadirin bayangkanlah perwira negara kita yang cetek pemikiran
dan goyah pendirian, terpengaruh dan terjebak dalam kancah dadah, terhoyong-hayang,
 tidak mampu memegang senapang  di perbatasan, mampukah, terdayakah mereka
 mempertahankan negara sidang hadirin sekalian?
 Saudara dan saudari,
            Begitu jugalah dalam bidang sukan dan rekreasi. Dengan berbekalkan ilmu 
dalam mendakigunung dan disiplin semasa menjalani latihan, pasukan pendaki 
Gunung Everest telah berjaya menawan puncak Gunung Everest yang merupakan
 gunung tertinggi di dunia dan wira negara kita telah mengharumkan nama negara. 
Mereka juga membuktikan kepada dunia  bahawa MALAYSIA BOLEH.
 Sidang hadirin yang dihormati,
            Dahulu nenda berpelita, kini cahaya dari kaca; dahulu bonda terpaksa mengambil
 air di perigi, kini hampir semua ini tiada lagi, air di pili menjadi pengganti. Di samping
 itu, berkat ilmu dan disiplin dalam pembuatan kereta, negara kita telah berjaya
 mengeluarkan kereta  nasional kita, iaitu kereta Proton. Kini kita boleh berbangga 
dengan pencapaian kereta nasional kerana telah berjaya menembusi pasaran 
antarabangsa.
            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan disiplin merupakan
 khazanah yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersama-sama melahirkan 
masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
                                   
                                                Kalau ada sawah bendang,
                                                Dapat kita menuai padi;
                                                Kalau ada umur panjang,
                                                Dapat kita berjumpa lagi.


Sekian, terima kasih.

Contoh Karangan Jenis Wawancara

Andaikan anda seorang pemberita. Anda ditugaskan mewawancara seorang pegawai polis di sebuah bandar di tempat anda bertugas. Wawancara itu membincangkan peranan pihak polis dalam mencegah masalah jenayah. Sediakan wawancara itu dengan lengkap.


Masalah jenayah sering dikaitkan dengan tugas dan peranan polis. Dalam membenteras masalah tersebut, polislah yang bertanggungjawab memastikan setiap individu dan masyarakat terselamat daripada ancaman tersebut. Untuk mengetahui peranan pihak polis ini, saya selaku pemberita ditugaskan mewawancara Penguasa Yusuf Majid, seorang pegawai polis di bandar ini. Kita ikuti wawancara tersebut.

Pemberita :Selamat pagi, tuan. Apa khabar?

Pegawai Polis :Selamat pagi. Khabar baik.

Pemberita:Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada tuan kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara. Pertamanya, polis dan undang-undang sering diibaratkan sebagai aur dengan tebing. Kedua-duanya begitu rapat dan sering berjalan seiring. Apakah pandangan tuan tentang perkara ini?

Pegawai Polis:Ya, pasukan polis merupakan penguat kuasa undang-undang yang tama. Ini bererti tanpa polis, undang-undang yang ada tidak bermakna kerana undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasakan. Sebaliknya, tentulah sukar untuk pihak polis menjalankan tugas jika sesebuah negara tiada undang-undang. Jika tiada undang-undang yang berkaitan dengan jenayah, tentulah tugas polis untuk membenteras jenayah tidak kesampaian. Jadi polis dan undang-undang mempunyai kaitan yang begitu rapat.

Pemberita:Bolehkah tuan huraikan dengan lebih jelas, bagaimanakah undang-undang boleh digunakan oleh polis untuk memerangi jenayah di negara kita?

Pegawai Polis:Sesuai dengan peranan polis sebagai penguat kuasa, maka undang-undang yang berhubung dengan jenayah menjadi panduan dan sering digunakan oleh pihak polis. Antaranya termasuklah Kanun Keseksaan dan Kanun Atur Cara Jenayah. Antara jenayah yang dikaitkan dengan Kanun Keseksaan adalah mencuri, merompak, merogol, mencederakan orang, penipuan, dan sebagainya. Kanun Atur Cara Jenayah pula telah memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap atau seumpamanya terhadap penjenayah yang melakukan jenayah-jenayah tadi.
Pemberita:Cuba tuan jelaskan tentang kewibawaan pasukan polis dalam menangani masalah jenayah.

Pegawai Polis:Kewibawaan dan prestasi pasukan polis sebenarnya bergantung kepada cara mereka melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang. Untuk itu, pihak polis mesti menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama. Jika terdapat sesuatu kesalahan jenayah, pihak polis akan bertindak tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang. Pihak polis juga mesti berani untuk memerangi jenayah. Oleh sebab itu, kita dapati banyak penjenayah menjadi mangsa keberanian dan kewibawaan pihak polis. Kadang kala anggota polis terpaksa berkorban apa sahaja demi menjaga keamanan negara. Mereka terpaksa mengorbankan masa, cuti, keluarga dan nyawa apabila bertugas.

Pemberita:Tugas sebagai anggota polis tentu menghadapi pelbagai cabaran atau risiko yang membahayakan keselamatan polis itu sendiri. Cuba tuan berikan pandangan?

Pegawai Polis:Ya, sebagai anggota polis, kami memang mengetahui adanya pelbagai implikasi dan risiko di hadapan. Misalnya, jika berlaku kes rompakan, pihak polis mungkin terpaksa berbalas tembakan dengan perompak. Jika bukan perompak, mungkin pihak polis yang menjadi mangsa. Ada kalanya penjenayah ini tidak takut berdepan dengan pihak polis. Oleh sebab itulah mereka berani melawan anggota polis kita. Selain itu, pihak polis juga kadang-kadang menghadapi cabaran masyarakat. Kami sering kali juga menimbulkan rasa takut dan prejudis orang ramai. Oleh sebab itu, kerjasama masyarakat sukar diperoleh untuk mengatasi kes-kes jenayah.

Pemberita:Sebelum kita mengakhiri wawancara ini, apakah harapan tuan terhadap masyarakat atau orang ramai untuk mengatasi masalah jenayah?

Pegawai polis:Kita memerlukan kerjasama orang ramai. Tanpa kerjasama dan komitmen orang ramai tentulah sukar untuk kita membenteras masalah jenayah. Mereka harus melaporkan kepada pihak kami jika berlaku sesuatu kejadian jenayah dan mereka juga tidak harus melindungi seseorang penjenayah. Berilah kerjasama, penghormatan, dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis demi keselamatan dan keamanan negara.

Pemberita:Saya juga berharap penjelasan tuan akan menjadi renungan kepada masyarakat kita. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas kesudian tuan.
Pegawai Polis : Sama-sama.