Saturday, 16 May 2015

Contoh Karangan Syarahan

Anda  mengambil  bahagian dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan ialah “Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Berilmu Dan Berdisiplin.” Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.


                Langit biru, segara hitam ciptaan Tuhan. Sayangnya manusia sekarang, akal ada,
 akhlak hilang, sibuk mencari impian, lupa diri, lupa Tuhan. Akhirnya datang suatu 
cahaya 
dari kunang-kunang yang berterbangan.Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima 
kasih tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang 
tidak lari dari landasan waktunya, dif-dif kehormat, tidak dilupakan saudara dan  saudari
 yang dihormati. Tampilnya saya selaku anak nusa mengepal segenggam harapan, 
menjunjung seribu impian menerusi sentuhan rasa topik  syarahan saya yang berbunyi, 
“Ke arah melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.”
 Sidang hadirin,
            Secara keseluruhannya, topik syarahan pada malam yang permai ini
 menyentuh tentang suatu usaha ataupun ikhtiar untuk mewujudkan golongan yang 
berpengetahuan tinggi dan seterusnya mempunyai sifat patuh kepada segala 
peraturan yang diberi. Pengertian ini dalam konteks syarahan pada malam ini 
merangkumi suatu aspek yang luas, meliputi kepandaian dan pengetahuan yang
 melibatkan 
keduniaan
 dan keakhiratan.
 Tuan-tuan dan puan-puan,
            Ilmu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan, memberi sinar paduan
 kepada manusia; disiplin pula diibaratkan umpama tabir hitam yang menampakkan
 seri kerlipan bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam. Ikatan mesra 
antara dua perkataan itu adalah bagaikan aur dengan tebing; tak mungkin berpisah
 kerana kedua-duanya saling  berperanan dalam memajukan manusia. Berkat ilmu 
dan disiplin, pembesar suara ini tercipta, Dewan Seri Cahaya ini indah 
bercahaya, penonton pula tersenyum ria semoga pertandingan syarahan pada
 malam ini dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya
 Hadirin dan hadirat,
            Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah 
 mewujudkan golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan
 dan mendedahkan kesan-kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul
 daripadanya. Sesungguhnya kesedaran           merupakan benih utama yang
 mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di kalangan    masyarakat, 
di mana kita harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam sanubari 
kita. Golongan pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. 
Setiap anak yang dilahirkan umpamatabula rasa  -  kosong tiada isi. Justeru, ibu
 bapalah selaku rabbi yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan 
anak-anak mereka. Pendidikan secara tidak     langsung yang diterima di rumah 
melalui pembentukan rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk 
satu asas ilmu dan disiplin di kalangan anak-anak yang  menjadi harapan mereka.
            Setelah generasi kecil ini menjadi dewasa dan mula mengenali alam
 persekolahan,institusi pendidikan akan meneruskan peranannya . Dalam usaha
 ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kebijaksanaannya telah 
melengkapkan KBSR dan KBSM, malah kini Sekolah Bestari sudah mula 
diperkenalkan di seluruh negara. Selain itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) 
yang merupakan nadi dalam merangka, menyusun, menyemak semula dan 
melaksanakan kurikulum,akan memperkenalkan kurikulum baharu. Pelan 
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 pula bercirikan futuristik dengan 
harapan melahirkan modal insan yang dapat bersaing dengan generasi luar negara. 
Hal ini penting berdasarkan cabaran yang akan dihadapi dalam era globalisasi.
            Di samping itu, kerajaan juga memainkan peranannya. Selepas merdeka, 
didapati   bahawa sistem  penddikan negara hanya menekankan kecemerlangan
 dari segi ilmu sedangkan keunggulan disiplin dan amalan dianaktirikan. Apabila 
menyedari akan hakikat ini, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyatnya 
cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan berdisiplin dengan 
melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, 
Cintailah Bahasa Kita, dan  Dasar Pandang Ke Timur  yang meliputi etika kerja dan
 kawalan mutunya ternyata berupaya melahirkan masyarakat yang berilmu dan
 berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka dan menjalankan 
program-program pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan Muda, 
Wawasan 2020, Koridor Raya, dan   internet. Sesungguhnya usaha murni ini harus 
dipertingkatkan; janganlah dinanti-nanti, janganlah ditangguh-tangguh
 sehingga masyarakat kita kembali teraba-raba dalam 
kegelapan, kembali ketandusan moral dan pendirian sehingga rambut mereka 
terpacak, baju terangkat,  seluar terencat, wujud kumpulan “l”, “Hip-Hop” hingga 
mata naik terbeliak.
 Ya, tuan-tuan dan puan-puan,
            Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah 
masyarakatnya  termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang demikian, 
apakah yang harus kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran tetangga, 
menyedarkan saudara-mara dengan semangat cintakan negara agar kita dapat 
melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Seterusnya dapat mewujudkan
 rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin  - bagaimana cintanya Dewi Sita kepada 
Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.
            Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan 
dakyah-dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik 
dan suasana kritikal ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat dan 
meredeka. Demikianlah sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya peranan
 dan peraturan dalam mewujudakan manusia yang  berpengetahuan dan berdisiplin.
 Sidang hadirin,
            Setelah mengetahui peripentingnya peranan dan peraturan ini, marilah 
bersama-sama mengkaji apakah kesan-kesan yang diperlihatkan hasil daripada 
perancangan ini. Ilmu dan disiplin tidak mudah terpisah dalam perkembangan 
politk tanahair. Berkat kecekapan dan kepandaian pemimpin kita dengan sifat Besih, 
Cekap, dan Amanah yang ditunjukkan, YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun 
Razak dengan Barisan Nasionalnya telah membentuk suatu pakatan yang utuh, 
dengan benteng yang kukuh bersama-sama MCA dan MIC
Pembentukan ini akhirnya membawa kepada penyatuan rakyat yang menjurus kepada 
kemajuan negara.
            Keutuhan ilmu dan disiplin dalam kalangan perwira merupakan tonggak kekuatan
  pertahanan negara. Berbekalkan ilmu pertahanan di dada, diperteguhkan lagi dengan 
disiplin yang sedia ada, diperkuatkan lagi dengan tiupan semangat Kanang Anak 
Langkau “Agi Hidup Agi Ngelaban” dapat menjinakkan seteru-seteru negara. 
Bayangkanlah sidang hadirin bayangkanlah perwira negara kita yang cetek pemikiran
dan goyah pendirian, terpengaruh dan terjebak dalam kancah dadah, terhoyong-hayang,
 tidak mampu memegang senapang  di perbatasan, mampukah, terdayakah mereka
 mempertahankan negara sidang hadirin sekalian?
 Saudara dan saudari,
            Begitu jugalah dalam bidang sukan dan rekreasi. Dengan berbekalkan ilmu 
dalam mendakigunung dan disiplin semasa menjalani latihan, pasukan pendaki 
Gunung Everest telah berjaya menawan puncak Gunung Everest yang merupakan
 gunung tertinggi di dunia dan wira negara kita telah mengharumkan nama negara. 
Mereka juga membuktikan kepada dunia  bahawa MALAYSIA BOLEH.
 Sidang hadirin yang dihormati,
            Dahulu nenda berpelita, kini cahaya dari kaca; dahulu bonda terpaksa mengambil
 air di perigi, kini hampir semua ini tiada lagi, air di pili menjadi pengganti. Di samping
 itu, berkat ilmu dan disiplin dalam pembuatan kereta, negara kita telah berjaya
 mengeluarkan kereta  nasional kita, iaitu kereta Proton. Kini kita boleh berbangga 
dengan pencapaian kereta nasional kerana telah berjaya menembusi pasaran 
antarabangsa.
            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan disiplin merupakan
 khazanah yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersama-sama melahirkan 
masyarakat yang berilmu dan berdisiplin.
                                   
                                                Kalau ada sawah bendang,
                                                Dapat kita menuai padi;
                                                Kalau ada umur panjang,
                                                Dapat kita berjumpa lagi.


Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment