Soalan : Anda telah menyertai perkhemahan unit beruniform di pinggir hutan. Salah satu aktiviti yang dijalankan ialah meredah hutan. Ketika anda mengikuti aktiviti meredah hutan, anda telah tersesat jalan. Tulis pengalaman yang anda lalui itu.
Jawapan
“Jauh berjalan luas pandangan, luas pandangan tambah pengalaman”. Itulah ungkapan lama yang membolehkan aku menyertai ekspedisi jelajah Hutan Negara, di Kota Kinabalu, Sabah. Puas aku memujuk ayah sementara ibu pula tak payahlah aku ceritakan. Akhirnya mereka akur dengan kemahuanku. Sememangnya ayah dan ibu telah masak dengan perangai aku. Bulat kata aku, bulatlah ia. Ayah hanya mampu tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala setelah aku berhujah panjang untuk meyakinkan mereka betapa ekspidisi tersebut begitu bermakna bagi aku dan kemampuan aku untuk menjaga keselamatan diriku sepanjang program itu nanti. “Ha, itulah, ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”, bebel ibu sambil menjeling ayah setelah gagal menghalang kemahuanku.
Pucuk dicita ulam mendatang, aku tersenyum puas, niat dan hasratku untuk meneroka keindahan flora dan fauna tercapai. Namun, kelekaan dan keasyikan aku membawa padah. Aku kini tidak lagi bersama-sama kumpulan aku yang seramai 25 orang itu. “Mana Cikgu Burn, Cikgu Azrol dan rakan-rakanku yang lain”. Hatiku berbisik kesal. Aku sudah ditinggalkan. Ini semua gara-gara aku yang terlalu kagum dengan keindahan pokok telinga kera dan Rafflesia, bunga Palma yang terbesar di dunia. Sudah terlalu lama aku menyimpan hasrat untuk melihat bunga yang unik itu. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Rafflesia ku tatap, kubelek dan gambarnya aku ambil berkeping-keping.
Tapi aku pelik, ketiadaan rakan-rakanku sedikitpun tidak kuhiraukan. Bagiku Rafflesia ialah segala-galanya. Seharian aku bersama Rafflesia. Senja merangkak tiba. Kicauan unggas semakin galak. Cengkerik tanah mula berlagu riang. Pelbagai spesis burung beterbangan di senja nan merah untuk pulang ke sarang. Tiba-tiba….aku tersedar, aku keseorangan, ‘Iya aku sudah tersesat di hutan; Masya Allah!’, aku menjerit sekuat-kuat hati. Tapi sayang, siapa yang mahu menyahut jeritanku, melainkan penghuni rimba yang tidak mampu berbicara.
Aku mencapai beg galasku. Telefon bimbit kucari. “Alamak, tidak ada liputan”. Aku mengeluh hampa. “Bagaimana harus kutempuh sebuah episod kehidupan di tengah-tengah hutan yang terlalu baru bagiku”. Meskipun hawa sejuk menerpa dan menyapa tubuhku, namun tidak mampu untuk menghalang peluh jantan daripada terus mengalir. Aku benar-benar cemas. “Jauh tempat itu Farez, kalau di hutan kampung nenek engkau, emak tidak kisah. Ini tidak, jauh di Pulau Borneo sana. Kalau jadi apa-apa, siapa yang susah?” Aku teringat keluh kesah ibu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. “Alah, dia anak jantan, biarlah dia pergi. Itu semua satu cabaran yang boleh mendewasakannya”. Celah ayah, yang tadinya cuba menghalang juga niat aku. Aku tersenyum sendirian.
“Aumm…!”. Aku tersentak, “Pak Belang!” bisik hatiku. Semakin deras peluh mengalir. Aku segera teringat kisah harimau yang sering membaham mangsa di Gua Musang. Rasa takut dan cemas mula menguasai setiap ruang diri aku. Aku terasa bagaikan ajalku sudah tiba. Satu demi satu ayat lazim kulafazkan. Pada ketika itu, aku berasa begitu kerdil. Apakah ini balasan tuhan kerana aku tidak mendengar cakap ibuku? Satu persoalan bermain dibenakku. Dalam keadaan yang syahdu itu, tiba-tiba aku terdengar satu bisikan menyuruh aku memanjat pokok dan menahan nafas seketika. Aku berbuat demikian. Selang 5 saat, aku menyaksikan satu panorama indah. Aku bagaikan seperti seorang pemberita Majalah 3 yang sedang membuat liputan. Aku bertuah! Bertuah? Bertuah, walaupun tersesat di dalam hutan? Aku menyaksikan ‘sekeluarga harimau’. Bapa, ibu dan lima ekor anak harimau yang comel-comel melintasiku.
Aku menarik nafas lega. Satu ujian sudah selesai. Aku kuatkan keyakinan diri, bahawa harimau itu sudah berlalu. Perut aku yang gendut ini sudah mula bersuara, memainkan irama yang berjudul ‘lapar’. Kalau di rumah aku akan segera ke dapur membuka tudung saji. Ikan sembilang salai masak lemak cili api sedia menanti ataupun ikan masin kurau bersama nenas dimasak kari menambat hati. Aku terliur. Tapi di hutan ini, perasaanku tersentuh kini. Ingatanku pada ibu bertamu kembali. Betapa sucinya kasih si ibu, melahirkan, membesarkan, mendidik sehingga aku mengenali hidup. Makan, pakaian semuanya disediakan. Tapi kini, aku menjadi ‘yatim sementara’. Mataku tiba-tiba tertumpu pada satu objek. ‘Durian!’ bisikku. Tapi pelik, duriannya panjang-panjang tidak seperti durian kampung ataupun D24 yang terdapat di semenanjung. Sebaik sahaja kubuka, aku terkejut lagi kerana ulas-ulasnya berwarna merah, takut juga aku hendak menjamahnya. Aku baru teringat, cikgu Mohassah pernah menceritakan tentang buah durian hutan, warnanya merah dan rasanya agak tawar. Memang durian hutan ini terdapat banyak di Pulau Borneo. Tidak sampaipun lima minit, setiap pangsa sudah tersisa. Aku kekenyangan.
Sambil menyandar pada sebatang pokok, aku kembali sugul. Apakah ikhtiar yang aku harus lakukan untuk keluar dari hutan ini. Apakah cikgu Burn, cikgu Azrol dan rakan-rakanku tidak sedar ketiadaanku. Apakah mereka tidak berusaha menjejakiku? Tiba-tiba ego seorang lelaki yang aku pertahankan selama ini tewas juga. Air mataku mengalir. Dalam kedudukan itu, akhirnya aku terlelap. Malam itu juga aku mencipta sejarah. Tidur bertilamkan tanah, berbantalkan lengan dan bertemankan sinaran rembulan serta dihiburkan oleh suara unggas malam. Azan subuh mengejutkanku dari lena. “Azan Subuh!” aku kehairanan. Mana mungkin di tengah-tengah belantara ini ada manusia mengalunkan azan memuji kebesaran tuhan. Aku menggosok-gosok mataku. Ternyata aku tidak bermimpi. Tanpa berlengah, aku bertayamum. Solat subuh aku kerjakan. “Selawat dan salam buat junjungan mulia”, aku memulakan doa. Dalam doaku, aku meminta agar aku ditunjukkan jalan pulang.
Badanku sudah mula berbau hapak. Bau peluh yang sekejap keluar, sekejap kering itulah faktornya di samping sudah dua hari aku tidak mandi. Langkah kuhayun, meskipun longlai, semangat aku kuatkan. Kerunsingan aku kadangkala lenyap, kerana aku begitu asyik dengan keindahan flora dan fauna yang belum pernah aku temui. Betapa hebatnya si pencipta, Allah yang maha esa. Sesekali aku terfikir, ada nikmat dan hikmahnya nasib yang menimpa diri aku. Sekurang-kurangnya aku sedar kebesaran Tuhan dan menginsafkanaku agar terus sujud kepada-Nya. “Pap!”, sepantas kilat jerangkap samar itu menangkap kakiku. Aku menjerit sekuat-kuat hati. Berpinar-pinar biji mataku kerana kaki aku tergantung dan kepalaku mencecah tanah. Alam yang tadinya indah kini berpusing-pusing seperti mengejek-ngejekku. Selepas itu aku tidak sedar apa-apa.
Sejuk, kepalaku terasa sejuk. Mata kubuka. Sesusuk tubuh sedang merawatku. ‘Cantik!’, bisik hati kecilku. “Di mana, aku di mana!”, aku menjerit. “Sabar, awak di kampung kami, Kampung Sibolok Lungun di daerah Ranau”. Gadis comel itu menjelaskan dengan loghat yang susah aku fahami. Mataku ligat memerhatikan keadaan sekeliling. Di luar sana aku dapat saksikan orang ramai bersembang-sembang mesra. Dari wajah mereka, hidung yang kembang, lebar dan kemek itu, aku tahu bahawa mereka ialah orang Asli. Aku akhirnya di hantar ke Balai Polis Ranau. Sempat juga aku menghadiahkan mereka beg galasku yang berjenama Adidas itu sebagai membalas budi mereka. Sudahlah aku ditolong, mereka turut menghadiahkan aku sumpitan buatan sendiri, sebagai tanda persahabatan, kata mereka.
Setelah mendapat maklumat daripada aku, pihak polis telah menelefon Pondok Polis Hutan Negara, Sabah. Sebelum itu, aku diberi makan. Tanpa rasa segan silu nasi kujamah dengan lahap. Sebaik sahaja aku membasuh tangan, namaku dipanggil. Aku menoleh, “Ya allah, cikgu!” aku berlari, berdakapan erat. Aku menangis lagi, sambil berkali-kali kupohon maaf.Cikgu dan rakan-rakan turut memohon maaf kerana kealpaan mereka daripada mengawasi aku.
Sumpitan itu kugantung kembali setelah habuknya kubuang. Ingatanku terhadap ekspidisi Hutan Negara, Sabah dan Kampung Sibuluk Lungan masih bertapak kukuh di sanubari. Tidak mampu aku lupakan. Ia bakal menjadi sebahagian daripada diari hidup yang mendewasakan aku. Andai aku berpeluang, ingin aku ke sana lagi, tapi kali ini bukan lagi menikmati Rafflesia, tetapi bertemu Michel Pungun, gadis Dusun Asli yang pernah berjasa padaku. “Farez, amri makan nak, sembilang salai lemak cili padi sudah siap, kalau sejuk sudah tidak sedap”, jerit ibu dari ruang makan sekali gus menamatkan kenanganku.
Not nice this ulasan.......
ReplyDelete,stupid....